| Media

siaran akhbar

Yayasan Bank Rakyat mengorak langkah salur RM3 juta

KUALA LUMPUR, SELASA 21 JANUARI 2020 — Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof hari ini melancarkan STEP, Program Simpanan Amanah Pendidikan (Savings Trust Education Programme) oleh Yayasan Bank Rakyat untuk membantu membiayai pendidikan golongan yang memerlukan dan membolehkan rakyat Malaysia terus belajar dan berkembang maju dengan suntikan dana sebanyak RM3.0 juta.

STEP, menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama membiayai kos pendidikan pelajar sekolah rendah dan menengah, serta mahasiswa dan siswazah yang memerlukan dan kurang berkemampuan melalui pelaburan yang dikongsi bersama.

Menurut Datuk Seri Redzuan Yusof, “Derma dan pembiayaan di bawah STEP dirancang untuk membantu pelajar-pelajar yang layak, terutama kepada mereka yang tidak mempunyai rekod menerima apa-apa bantuan kewangan sebelum ini”.

Tambah beliau, “STEP menzahirkan keprihatinan Kerajaan melalui agensi seperti Bank Rakyat dan yayasan di bawah Bank Rakyat iaitu Yayasan Bank Rakyat untuk membuka peluang pendidikan yang sama rata untuk semua rakyat tanpa mengira latar sosio mereka.”

Menurut beliau lagi, “Adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai asas pendidikan yang kukuh dan mantap sekaligus menjadikan mereka usahawan yang unggul jika mereka memilih untuk menjadikan keusahawanan sebagai bidang yang diceburi.

“Selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), yang menggariskan tujuh teras utama termasuk menjana pertumbuhan baru, meningkatkan pasaran buruh dan meningkatkan kesejahteraan dan modal sosial, MED komited untuk membantu peningkatan kapasiti modal insan melalui pendidikan berterusan dan usaha STEP ini adalah antara langkah proaktif untuk memastikan DKN 2030 di landasan yang betul”.

Antara matlamat Yayasan Bank Rakyat menerusi inisiatif baharu ini adalah untuk memenuhi visinya bagi menawarkan pendidikan secara holistik terutamanya kepada golongan yang kurang mendapat perhatian. Sehingga kini,

Yayasan Bank Rakyat telah menyumbang sebanyak RM234 juta untuk menyediakan peluang pendidikan kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia bagi mendapatkan pendidikan berkualiti. Menerusi STEP, Yayasan Bank Rakyat telah menetapkan sasaran sebanyak RM21.0 juta untuk tempoh lima tahun akan datang.

Semua sumbangan kepadaSTEP dikekalkan dan dilaburkan sebagai pelaburan kekal dengan hanya pendapatan daripada hibah yang dijana daripada wang sumbangan, akan diguna pakai. STEP turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan serta program penyelidikan dan pembangunan.

Antara sebab STEP dijangka mendapat sokongan meluas adalah kerana inisiatif ini mewujudkan aliran dana yang mampan dan berterusan untuk disalurkan kepada pelajar yang kurang bernasib baik; memperuntukkan dana untuk memajukan Penyelidikan Pembangunan pendidikan ke arah pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan sosial yang positif; dan menempatkan pengumpulan dana khusus bagi pembangunan pendidikan.

Turut hadir pada majlis perasmian hari ini ialah Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Noripah Kamso, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi, Ketua Setiausaha MED, Dato’ Rosman Mohamed, Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, serta pegawai MED dan agensi.

Dalam petikan ucapan beliau, Datuk Noripah Kamso berkata, “Matlamat program ini adalah untuk kita membina sekumpulan philanthropist yang menyumbang melalui dana berkenaan bagi membina sebuah masyarakat yang mampu menilai secara kritikal, melihat dalam semua peringkat kehidupan dengan pegangan moral yang kuat di samping membantu membangunkan negara untuk kebaikan generasi akan datang”.

Di Yayasan Bank Rakyat, matlamat kami adalah melakukan perkara yang betul. Tumpuan pembangunan keupayaan untuk komuniti kami tertumpu kepada menyediakan peluang dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang mana usaha ini dapat memberi impak yang lebih besar,” tambah Datuk Noripah.

Kami menawarkan peluang dengan menyediakan geran dan bantuan untuk mereka yang sering dilupakan, diabaikan dan diketepikan; dengan harapan pada suatu hari akan membuat kita berasa bangga bahawa kita melakukan sesuatu walaupun kecil, demi kebaikan manusia sejagat. STEP akan menzahirkan peluang ini, Insya-Allah.”

STEP dikendalikan oleh jawatankuasa pengurusan berdedikasi yang mematuhi prinsip Syariah. Sistem yang disediakan menggunakan piawaian antarabangsa sebagai tanda aras operasi dan perkhidmatannya kerana Yayasan Bank Rakyat telah diiktiraf melalui pensijilan ISO 9001:2015.

Sumbangan boleh dibuat melalui laman web www.step.yayasanbankrakyat.com.my.

Mengenai Yayasan Bank Rakyat

Yayasan Bank Rakyat ditubuhkan pada 16 Mei 2007 di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258], untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan, serta pelanggan Bank Rakyat dan anak-anak mereka, dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

Sejak penubuhannya, Yayasan Bank Rakyat secara aktif menyumbang untuk meningkatkan taraf socio-ekonomi golongan kurang bernasib baik tanpa mengira kaum, agama, mahupun jantina melalui pendidikan dan pada masa yang sama menggalakkan suasana kerjasama dan bantuan bersama di kalangan rakyat Malaysia.

Visi kami menyumbang kepada pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 10 hingga 17 dalam Agenda Global 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pembangunan Mampan. Melalui strategi inovatif dan program-program merangsang sejajar dengan matlamat ini, matlamat kami adalah untuk mewujudkan modal insan yang produktif dan berkemahiran tinggi: individu-individu yang berupaya, berkebolehan dengan integriti dan akauntabiliti, yang dapat menyertai dan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan, dan menyumbang ke arah keharmonian dan kemakmuran global.


%d bloggers like this: